Lelaki ditahan dipercayai terlibat 20 kes pecah stesen minyak
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata penahanan suspek berusia 32 tahun itu juga dipercayai dapat menyelesaikan 20 kes pecah stesen pam minyak di negeri terbabit.
“Suspek yang berkerja sebagai penghantar bungkusan barangan berjaya itu ditahan pada 15 Ogos lepas di Kuala Lumpur hasil risikan maklumat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan berjaya merampas kereta dan pakaian yang digunakan semasa kejadian.
Tangkapan ini juga susulan tiga laporan polis diterima sejak Mei lepas yang dibuat oleh pengusaha-pengusaha stesen pam minyak berkaitan kejadian jenayah itu yang mengakibatkan kerugian wang tunai dan kerosakan pintu kaca yang dipecahkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Christopher berkata modus operandi suspek adalah menggunakan alatan seperti tukul besi untuk memecahkan pintu kaca untuk memasuki premis dan mencuri harta benda.
Katanya hasil saringan ujian air kencing juga didapati suspek positif dadah jenis syabu dan mempunyai rekod lampau jenayah melibatkan kes samun dan dadah.
“Suspek ditahan reman bermula 16 hingga 22 Ogos dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.