Sorting by

×

LELAKI DITAHAN, BANTU SIASATAN KES PUKUL JIRAN WARGA EMAS

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 7 April – Polis menahan seorang lelaki selepas didakwa bertindak memukul seorang warga emas yang juga jirannya dalam kejadian di tepi Sungai Pengkalan Jajar Alai, 3 April lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9 pagi hari yang sama selepas mangsa iaitu lelaki berusia 65 tahun tampil membuat aduan.

Katanya, menerusi laporan dibuat mangsa yang juga seorang pesara mendakwa telah dipukul oleh suspek berusia 40 tahun dengan menggunakan sebatang besi.

“Sebelum kejadian kira-kira jam 8.30 pagi ketika ingin keluar berjoging, suspek didakwa cuba membuat provokasi dengan membaling mercun ke arah rumah warga emas berkenaan, namun mangsa, tidak menghiraukan perbuatan itu.

“Selesai berjoging mangsa terserempak dengan suspek lalu berlaku pertengkaran mulut dan kedua-dua mereka juga dikatakan turut meludah ke muka antara satu sama lain sebelum suspek bertindak memukul warga emas terbabit.

“Mangsa dikatakan cuba mengelak namun pukulan itu terkena pada bahagian lutut sebelah kiri dan dikatakan turut berlaku pergelutan antara kedua-dua mereka ini,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dilakukan mendapati kejadian berpunca daripada rasa kurang senang suspek terhadap mangsa yang dikatakan telah membuat bising dan mengganggu keluarganya.

“Difahamkan, mangsa gemar berkaraoke dan suspek ada menegur tindakan itu, sejak itu kedua-dua mereka dikatakan tidak lagi bertegur sapa.

“Susulan laporan diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah membuat tangkapan keatas suspek kira-kira jam 1 tengah hari pada hari kejadian (3 April) dan dia kini direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post MBMB ANTARA 20 BANDAR PALING BAHAGIA 2025
Next post WANITA WARGA EMAS RENTUNG, 16 RUMAH SETINGGAN MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI BINTULU