Lelaki didenda RM2,500 kemuka maklumat palsu kad pengenalan anak angkat
Majistret Illi Marisqa Khalizan yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Swee Theng, 59, turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Lee didakwa mengemukakan maklumat palsu iaitu mengisi ruangan pertalian sebagai bapa kepada anak angkat lelakinya itu, yang kini berumur 17 tahun, dalam borang daftar kelahiran di Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) pada 11.36 pagi, 26 Dis 2007.
Pertuduhan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh pergi ke kaunter JPN KL untuk mendaftarkan sijil kelahiran anak dengan mengemukakan kad pengenalan tertuduh dan isteri, sijil perkahwinan dan surat pengesahan kelahiran sebagai dokumen sokongan.
Permohonan tersebut telah diterima oleh pihak kaunter untuk diproses dan telah dikeluarkan sijil kelahiran atas nama remaja berkenaan.
Pada 9 Dis 2019, tertuduh bersama anaknya pergi ke JPN Kampar, Perak untuk memohon kad pengenalan ketika kanak-kanak itu berusia 12 tahun dan semasa permohonan diproses, pegawai kaunter mendapati perbezaan warna kulit yang ketara antara mereka.
Kes dirujuk ke bahagian siasatan dan penguatkuasaan JPN Perak dan hasil siasatan mendapati tertuduh telah berkahwin dengan isterinya sejak 2001 namun tidak mempunyai anak. Tertuduh mengaku remaja itu bukanlah anak kandungnya bersama isteri.
Lee mengaku mengambil kanak-kanak itu daripada seorang wanita dikenali sebagai ‘Ah Song’ dan telah membuat bayaran RM3,000 kepada wanita berkenaan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN Perak Mohamad Salleh Jaafar Sidek memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan itu serius dan membabitkan isu kewarganegaraan.
Peguam Ernie Sulastri Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan atas faktor kesihatan isteri tertuduh yang menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan insulin dan dialisis.
“Anak guam saya amat kesal dan memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku. Pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah. Dia juga dipanggil oleh pihak JPN Perak semalam dan tidak diberikan apa-apa tahanan reman dan hadir ke mahkamah pagi ini dari Taiping, Perak bersama isteri,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.