Lelaki Bangladesh ditahan sebar berita palsu dakwa nampak harimau Zoo Negara terlepas

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan polis kerana disyaki menyebarkan berita palsu mendakwa terlihat kelibat harimau yang dikatakan terlepas dari Zoo Negara.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 51 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah itu, ditahan di pondok pengawal di Jalan Tropika Kemensah 3, Kemensah Height, di sini pada 7 malam semalam.

Beliau berkata suspek dipercayai bertanggungjawab menyebar maklumat melihat harimau berkenaan.

“Polis telah menerima laporan daripada seorang pengadu yang menerima pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa melihat kelibat harimau di kawasan kejiranannya dan meminta penduduk setempat berjaga-jaga.

“Pengadu merasakan dakwaan itu tidak benar dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat kerana setakat ini tiada bukti jelas tentang kehadiran harimau terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Farouk berkata lelaki itu kini disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen yang sah dan siasatan juga dibuka berhubung isu tular di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Semalam, tular di media sosial dakwaan seekor harimau muncul dan berlegar di kawasan perumahan di Kemensah Height, Hulu Klang, namun Zoo Negara telah mengesahkan tiada harimau yang terlepas dari premisnya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1099
Kongsi :
Previous post PERTAM bakal usahakan ladang jagung manis, rumput napier
Next post Sebutan semula kes remaja bunuh bayi sendiri ditetapkan 19 Jun
Ubah saiz-+=