Lelaki bakar rumah diburu polis
JERTIH, 31 Mei – Seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah diburu polis kerana disyaki membakar sebuah rumah di Kampung Keruak di Hulu Besut, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata lelaki tempatan berusia 40an itu dipercayai sedang bersembunyi di dalam hutan di sekitar kampung tersebut selepas melakukan perbuatan khianat itu kira-kira pukul 4 petang.
“Polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran dan kes ini sedang disiasat menurut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
“Suspek dikatakan mahir dengan selok-belok di dalam hutan di situ menyebabkan usaha memberkasnya berdepan kesulitan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam kejadian tersebut, rumah milik Nor Baidi Abdullah, 60, musnah sepenuhnya dipercayai dibakar oleh lelaki itu menggunakan minyak petrol.
Menurut Nor Baidi, perbuatan suspek itu sempat dilihat oleh anak lelakinya berusia 16 tahun yang ketika itu berada di dalam bilik air sebelum terdengar suatu bunyi mencurigakan.
“Anak saya terkejut kerana ketika mengintai melalui lubang bilik air, dia ternampak suspek sedang menjirus cecair dipercayai petrol ke dinding rumah sebelum suspek bertindak membaling kain yang dinyalakan api ke salah satu bilik tidur.
“Kejadian kali ini merupakan perbuatan kali keenam suspek membakar rumah saya termasuk ada sekali suspek membakar kereta saya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, namun kami sekeluarga sempat memadamkan api sebelum merebak pada lima cubaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Nor Baidi berkata beliau tidak mengetahui motif lelaki berkenaan bertindak sedemikian kerana beliau sekeluarga tidak pernah mengganggunya selama ini.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.