Lelaki 19 tahun ditahan menyamar jadi tentera, bongkar kes liwat dan penipuan
KUALA LINGGI 2 Dis – Padah menyamar sebagai tentera dan memiliki pakaian ketenteraan, seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang pegawai tentera pada 30 Nov sebelum melakukan serbuan di di sebuah rumah di Taman Ayer Molek Perdana Kuala Sungai Baru kira-kira jam 9.15 malam.
Hasil serbuan, pihaknya menemui pakaian tentera seperti pakaian no 3 berserta pangkat kapten dan aksesori; pakaian no 5 celoreng bersama seluar berpangkat kapten dan aksesori; kasut spike dan kasut potong berwarna hitam.
“Selain itu, pihak polis turut merampas tali pinggang Kor Artileri, dua unit beret ‘maroon’, sepasang stoking hijau dan Apulet loreng berpangkat Lt Kol.
“Pendedahan awal, suspek mengaku memperoleh pakaian tentera tersebut dengan cara pembelian dalam talian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, tangkapan itu juga membongkarkan satu kes liwat membabitkan suspek yang dilaporkan oleh seorang lelaki yang mendakwa menjadi mangsa dalam kejadian 23 hingga 25 Nov lalu di sebuah rumah di Taman Ayer Molek Perdana.
Selain itu, suspek juga disiasat berkaitan satu kes penipuan berjumlah RM21,400 dengan menyamar sebagai Mejar Shuhada dan Kapten Saufi bagi memperdaya seorang lagi lelaki melalui aplikasi Whatsapp.
“Suspek kini direman selama lima hari bermula semalam (1 Dis) dan ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.