Sorting by

×

‘Lega boleh terus berniaga’

Masa Membaca:2 Minit, 53 Saat

PADANG TEMU 24 Mei – Keputusan kerajaan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan bukan melaksanakan PKP sepenuhnya nyata memberi kelegaan buat perniaga kecil apabila sektor ekonomi dibenarkan terus beroperasi.

Biarpun waktu operasi perniagaan antaranya bagi pusat beli-belah, kedai serbaneka, gerai dan dobi pula dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja berbanding 6 pagi hingga 10 malam sebelum ini dan berkuat kuasa 25 Mei hingga 7 Jun depan, ia disambut dengan kesyukuran.

MUSA.

Peniaga, Musa Aji, 53, ketika ditemui meluahkan rasa syukur apabila kerajaan prihatin dengan rintihan peniaga yang bergantung kepada pendapatan harian perniagaan.

“Alhamdulillah, kerajaan memberi pelepasan untuk peniaga terus berniaga, jadi dapatlah saya cari rezeki di sini.

“Masa pelaksanaan PKP 1.0 agak ketara jugaklah sebab kita tak dapat bergerak, nak meniaga pun tak boleh.

“Sekarang rasa lega sangat, biarpun waktu dipendekkan dari 8 pagi hingga 8 malam, jadi lepas ni kita kena keluar awal untuk pergi beli barang niaga,” katanya yang berniaga di Taman Pertam Jaya.

BAKTIAR Affandi.

Bagi Bakhtiar Affandi Boorhaan, 43, pula berkata peniaga kecil kini boleh mencari makan berbanding semasa pelaksanaan PKP 1.0.

“Nak bandingkan PKP 1.0, lebih baik PKP 3.0 sebab kita boleh berniaga walaupun 8 pagi sampai 8 malam, dulu nak cari makan pun susah tapi sekarang okay lah.

“Waktu niaga singkat pun tiada masalah sangat cuma bila waktu orang bekerja jam 8 pagi, jadi macam kita peniaga kecil nak buka awal tak boleh jadi sukar sikit lah.

“Ikutkan terkesan memang ada, dulu orang boleh makan di kedai sekarang bungkus sahaja, jadi pelanggan yang datang pun kurang,” katanya yang berniaga di Ujong Pasir.

MUSA semasa melayan pelanggan yang membeli nasi lemak di gerainya.

Nor Zabar Arudin Muhamad, 24, turut bersyukur dan akan memanfaatkan peluang yang diberikan oleh kerajaan.

“Saya niaga pau dah lebih lapan bulan sejak PKP 1.0 dilaksanakan, sebagai peniaga alhamdulillah (dibenar beroperasi) sebab kita ni peniaga kecil.

“Jadi sekarang bila diberi peluang untuk berniaga dari 8 pagi hingga 8 malam memang bersyukur, sekurang-kurangnya kita boleh bantu ‘family’ walaupun benda tu tak banyak tapi cukup untuk kita sara keluarga,” katanya kepada MHI.

NOR Zabar.

Ditanya mengenai waktu operasi perniagaan, Nor Zabar tidak merasa terbeban kerana perniagaannya lebih kepada waktu siang hari.

“Walaupun dulu boleh niaga sampai 10 malam, tapi bagi saya tidaklah terkesan sangat sebab kita berniaga pada siang hari.

“Siang orang boleh keluar cari makan atau beli apa-apa saja, malam pula lebih banyak duduk rumah dengan situasi sekarang ni orang lagi takut nak keluar.

“Saya buat dua kerja iaitu siang niaga pau, malam keje ikan bakar di Kandang, sekarang bila kedai makan tak boleh buka tapi diberi pilihan untuk niaga rasa bersyukur dan alhamdulillah,” katanya lagi.

Nor Zabar turut berpesan kepada belia di luar supaya jangan jadikan alasan PKP untuk tidak mencari peluang mendapatkan rezeki.

“Nasihat saya kalau rasa nak cuba niaga cuba saja, jangan terlalu harapkan bantuan, cuba usaha untuk diri kita dan keluarga, insya-Allah rezeki itu akan datang sendiri,” katanya lagi.

Semalam, kerajaan mengumumkan sekatan tambahan bagi mengetatkan  SOP PKP 3.0 akan dibuat melalui dua strategi iaitu arahan bekerja dari rumah (BDR) serta mengehadkan waktu operasi perniagaan berkuat kuasa 25 Mei bagi seluruh Semenanjung dan Labuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1308
Kongsi :
Previous post Berkorban bersihkan tali air elak banjir
Next post Bau busuk rupanya dari mayat datuk saudara
Ubah saiz-+=