‘Lega bayaran lesen dikurangkan 50 peratus’ – Peniaga

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DUYONG 25 Ogos – Peniaga kecil di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersyukur diberikan pengurangan bayaran lesen sehingga 50 peratus dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Peniaga Azlina Abdul,38, berkata jika sebelum ini dia perlu membayar lesen perniagaan sebulan lebih RM100 kini jumlah yang dikenakan hanya RM66.90.

“Akak niaga di Taman Seri Duyong dah 15 tahun…, bila waktu pandemik ini sambutan kurang sikit dan jualan popia basah cuma 300 biji berbanding sebelum ini 500 biji sehari.

“Alhamdulillah bila MBMB bagi diskaun bayaran lesen dapatlah peniaga kecil seperti saya ini bernafas sedikit, jika ikutkan sebulan hanya dalam RM22.30 kadar bayaran lesen ini,” katanya ketika ditemui MHI.

POPIA basah Azlina mendapat sambutan pelanggan.

Seorang lagi peniaga, Ummul Khairi Ahmad,34, turut meluahkan rasa yang sama apabil diberikan pengurangan kadar bayaran lesen sejak Jun lalu.

“Saya niaga sejak 2017, alhamdulillah walaupun dalam waktu pandemik rezeki sentiasa ada jualan air laris setiap hari dari jam 11 pagi hingga enam petang.

“Terima kasih juga pihak MBMB bagi ‘rebate’ sejak Jun lalu, saya hanya bayar lesen RM56 untuk tiga bulan, jika dikira hanya RM18.70 sahaja sebulan.

“Alhamdulillah dengan jualan sekarang di waktu pandemik, harga lesen yang berpatutan, dapatlah saya tampung gaji pekerja,” katanya.

RAMLI.

Sementara itu, Ramli Montel,66, berharap pihak MBMB terus memandang peniaga kecil sepertinya terutama dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini.

“Dulu saya niaga pasar malam lebih 22 tahun tapi niaga ayam goreng di sini baru dua tahun. Syukur biarpun dalam tempoh pandemik pelanggan yang datang masih ada.

“Cuma harap bayaran lesen dapat dikurangkan lagi, sekarang tiga bulan pakcik kena bayar dalam RM110, kalau dapat kurang lagi 50 peratus pun dah cukup,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post 460 Jalur Gemilang diagihkan secara pandu lalu – JaPen Alor Gajah
Next post Family Store Bachang ditutup sementara bermula esok
Ubah saiz-+=