Sorting by

×

Ledakan Revolusi Industri 4.0 perjuangan Ah Kon

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KOTA MELAKA 12 November – Memanfaatkan peluang ekonomi untuk rakyat hasil ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) antara aku janji yang akan dilaksanakan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Melaka, Kon Qi Yao, sekiranya diberi mandat untuk menerajui parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu terkandung dibawah teras ekonomi yang akan menarik pelaburan asing berteraskan industri teknologi tinggi yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Selain ekonomi, tiga fokus utama lain yang diberi penekanan adalah suara rakyat, bangsa dan agama serta pendidikan.

Qi Yao yakin aku janji dan perubahan mahu dibawa itu mampu dilaksanakan berdasarkan latar belakangnya yang berkaitan bidang kejuruteraan selain diiktiraf sebagai Teknologis Profesional (Ts) dan memiliki pengalaman selama 20 tahun dalam industri itu sendiri.

“Berdasarkan pengalaman, saya amat memahami suasana industri di Melaka yang perlu ditrasformasikan dan mengikut IR 4.0.

“Sistem kilang di Negeri Melaka saya lihat masih ikut cara manual, dengan pengalaman yang ada, saya yakin dapat lakukan reformasi untuk industri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Akujanji Manifesto BN Kota Melaka, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda MCA Bahagian Kota Melaka turut mengumumkan enam visi dan misi yang akan dilaksanakannya iaitu mengecat semula semua rumah pangsa kos rendah di Kota Melaka menerusi KITA-CAT, mewujudkan tabung kokurikulum bakat di sekolah.

Selain itu antara yang akan dilaksanakan adalah mewujudkan satu pusat khidmat masyarakat Parlimen dikenali sebagai Team Ah Kon di Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selain itu, kita akan wujudkan pasukan perkhidmatan dikenali sebagai Team Ah-Kon 4U, menambah baik dan memperkasa kemudahan infrastruktur sedia ada serta satu DUN satu taman riadah.

“Selain aku janji dan visi yang dibentangkan ini, saya juga akan pastikan sekiranya diberi kepercayaan dan mandat oleh rakyat nanti semua golongan lapisan masyarakat akan diberi perhatian menyeluruh. Saya tidak mahu ada yang tercicir malah penyalahgunaan kuasa atau rasuah juga akan ditolak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2085
Kongsi :
Previous post PKNM sentuh hati orang Melaka
Next post Kenal pasti tapak PPR di Parlimen Masjid Tanah
Ubah saiz-+=