Sorting by

×

Lebuh raya Malaysia ‘mesra’ kenderaan elektrik

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 16 September – Sebanyak 22 pengecas pantas kenderaan elektrik DC telah disediakan di beberapa Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya seluruh negara buat masa ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 bagi mencapai pengurangan tenaga serta pelepasan gas rumah hijau (GHG) menjelang 2030, sekali gus menjadi negara mesra kenderaan elektrik.

Katanya, antara lokasi yang menyediakan pengecasan pantas itu ialah di R&R Ayer Keroh Arah Utara, R&R Tapah Arah Utara dan R&R Paka Arah Utara, selain enam lagi sedang dibangunkan di R&R Machap (Arah Selatan), Rawang (Arah Utara), Gunung Semanggol (Arah Selatan), Gurun (Arah Utara dan Selatan) dan Paka (Arah Selatan) yang dijangka siap pada tahun ini.

Menurutnya, pihak Kementerian turut menyasarkan 20 lagi pengecas pantas kenderaan elektrik DC akan dibangunkan oleh pelbagai Charge Point Operator (CPO) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada tahun ini.

“Ia penting memandangkan lebuh raya ini merupakan tulang belakang yang menghubungkan Singapura ke Thailand.

“Selain itu, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga telah mengenalpasti 63 lokasi poin pengecas pantas kenderaan elektrik DC di Kawasan R&R serta Hentian Sebelah yang terpilih di lebuh raya bertol di seluruh Malaysia.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) juga telah memberi beberapa kelulusan di lebuh raya sekitar Lembah Klang dan terdapat empat puluh lima (45) lagi permohonan pembangunan poin pengecas pantas kenderaan elektrik dalam semakan dan bakal diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pengecas Berkelajuan Tinggi TNB Electron di Hentian R&R Ayer Keroh Arah Utara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha, KKR Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR Datuk Zahrul Hakim Abdullah; Ketua Pengarah LLM Datuk Ir. Mohd Shuhaimi Hassan; Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad Datuk Mohd Izani Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Ir. Baharin Din; dan lain-lain kenamaan.

photo_2023-02-16_14-06-46
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (empat dari kanan) merasmikan gimik pada Majlis Pelancaran Pengecas Berkelajuan Tinggi TNB Electron di Kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Alexander turut memaklumkan pemilik kenderaan elektrik boleh menggunakan pengecas pantas kenderaan elektrik DC TNB Electron di Hentian R&R Ayer Keroh Arah Utara, Tapah Arah Utara dan Paka Arah Utara secara percuma hingga penghujung Februari ini.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan syarikat pengendali lebuh raya atas komitmen dan sokongan yang telah dan akan diberikan dalam menyahut aspirasi kerajaan mencapai Negara Rendah Karbon menjelang tahun 2040.

“Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada PLUS dan TNB kerana telah bekerjasama untuk menyediakan pengecas berkelajuan tinggi TNB Electron di Lebuhraya PLUS,” katanya yang menyasarkan 15 peratus kenderaan yang mengguna lebuh raya adalah kenderaan elektrik menjelang tahun 2030.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

995
Kongsi :
Previous post Inspirasi Malaysia Madani diterapkan dalam PSMJ 2035 versi ketiga
Next post Cadang permudah bayaran tol guna kad debit
Ubah saiz-+=