Sorting by

×

Lebuh Jasin Selatan jimat masa, pacu ekonomi setempat

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

JASIN 19 Ogos – Pembukaan Lebuh Jasin Selatan sepanjang 4.17 kilometer mampu memperkukuh jaringan pengangkutan di Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rangkaian lebuh raya yang cekap dan sistematik itu sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Beliau berkata, kos pembinaan projek itu ditanggung Parkland Group sebanyak 84.46 peratus dan selebihnya mendapat kerjasama pihak Scientex.

“Terdapat tiga akses utama ke Lebuh Jasin Selatan dan Jalan Jasin Selatan-Bukit Kajang ini. Akses pertama adalah melalui Tol Jasin, akses kedua melalui kawasan Asam Kumbang Bemban dan akses ketiga teletak di kawasan Bandar Jasin Bestari.

“Lebuh raya ini dijangka dapat memendekkan jarak perjalanan dari Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Jasin ke Bandar Jasin sebanyak 11.1 kilometer dengan purata masa tujuh minit berbanding 30 minit sebelum ini.

“Terdapat satu lagi laluan dikenali sebagai Lebuh Jasin Selatan-Bukit Kajang sepanjang 1.81 kilometer, ia berjaya mengurangkan tempoh perjalanan dari Lebuh Raya PLUS Jasin ke Bandar Melaka dengan hanya 23 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pembukaan Lebuh Jasin Selatan, Jalan Jasin Selatan-Bukit Kajang, Taman Rekreasi (Taman Bandar Parkland) & Medan Selera Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Bandar Botani Parkland di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom; Pengarah Parkland Group, Datuk Victor Tan dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berharap pembinaan jalan itu akan memberi manfaat besar kepada semua penduduk.

“Ia akan menjadi satu tarikan baharu untuk pelabur dan pengunjung dari arah Selatan khususnya ke Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6525
Kongsi :
Previous post Lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Melaka – KM
Next post 7 termasuk suami isteri ditahan, dadah lebih RM10 juta dirampas
Ubah saiz-+=