LEBIH TUJUH JUTA RAKYAT MALAYSIA SERTAI KOPERASI TAHUN LALU

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 September – Seramai 7.22 juta atau 21 peratus rakyat Malaysia direkodkan menyertai gerakan koperasi seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah itu membabitkan 15,809 koperasi, sekali gus menunjukkan gerakan itu kini menjadi entiti yang semakin diyakini rakyat.

“Sumbangan gerakan koperasi melalui pengumpulan modal syer dan yuran adalah sebanyak RM17.45 bilion, penjanaan aset pula berjumlah RM165.9 bilion.

“Sementara itu, sumbangan perolehan koperasi mencecah RM64.56 bilion yang menjadikan sektor koperasi sebagai penyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 di sebuah hotel di sini, semalam.

Perasmian majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin serta lain-lain kenamaan.

Menurutnya, gerakan koperasi memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi pelbagai aktiviti perniagaan seiring dengan permintaan dan keperluan masyarakat serta perkembangan teknologi.

“Mengenai gerakan koperasi di Melaka pula, saya melihat potensinya amat besar khusus sebagai ejen membasmi kemiskinan dalam mencapai hasrat ‘Menuju Negeri Lestari’ pada 2035. Melaka mempunyai sebanyak 487 koperasi dengan keanggotaan sekitar 178,000 ahli dan berjaya merekodkan perolehan sebanyak RM156 juta.

“Keunikan sejarah, warisan budaya dan seni telah menjadikan Melaka antara destinasi utama pelancongan negara. Dengan kedatangan pelancong yang tinggi sepanjang tahun dan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), ia memberi peluang besar kepada koperasi untuk menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

69
Kongsi :
Previous post TUJUH ANUGERAH KHAS SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 2024
Next post ‘MOHON MAAF DALAM TEMPOH TUJUH HARI’
Ubah saiz-+=