Lebih senang urus hartanah guna e-bil
AYER KEROH – Pengenalan e-bil bukan sahaja memudahkan urusan pembayaran cukai tanah dan petak, sebaliknya mampu membantu pemilik berdaftar mengurus hartanah mereka dengan lebih cekap.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Melaka, Datuk Noraini Tawel berkata, setakat Ogos sebanyak 29 peratus daripada 120,785 pembayar cukai membabitkan 419,257 pemilik berdaftar seluruh Negeri Melaka, telah menyemak bil cukai tanah dan petak secara dalam talian.
Noraini berkata, peratusan itu dianggap sebagai positif dan menggalakkan serta berharap angka berkenaan terus meningat selepas e-bil dilaksanakan sepenuhnya bermula 2024.
Katanya, bermula 2024 tidak akan ada lagi penyata secara bercetak dikeluarkan atau dihantar kepada pengguna kerana semua urusan akan dilaksanakan menerusi e-bil.
Menurutnya, e-bil dibangunkan agar mesra pengguna dan ia adalah antara usaha PTG kearah pelaksanaan kerajaan digital.
Selain itu katanya, pengguna bakal menikmati pelbagai kelebihan dan mampu mengelakkan daripada timbul sebarang permasalahan atau kekeliruan berhubung cukai tanah dan petak berbanding penggunaan penyata bercetak seperti sebelum ini.
“Pembayaran boleh dilakukan menerusi JomPay, namun kami sentiasa berinovasi untuk menambah gerbang pembayaran termasuk menggunakan MelakaPay. E-bill boleh diakses dimana-mana sahaja selagi atau liputan internet tidak kira menggunakan komputer atau telefon pintar.
“Menerusi e-bill tidak perlu lagi ke kaunter untuk semak atau bayar cukai, semuanya urusan dalam talian. Berbanding penyata cetak pengguna e-bil boleh menyemak jumlah cukai pelu dibayar, sejarah transaksi terdahulu, atau tunggakan.
“Semua maklumat mengenai hartanah milik pengguna boleh dirujuk menerusi e-bil, jadi tidak akan timbul masalah jika bil hilang atau tidak sampai ke tangan mereka akibat tersalah alamat atau sebagainya,” katanya ketika ditemui.
Jelasnya, meskipun tidak akan ada lagi cetakan penyata selepas 2024, pejabat daerah dan tanah masih menerima pelanggan yang mahu melakukan pembayaran atau semakan cukai di kaunter.
Beliau berkata, kerajaan memahami kekangan segelintir pemilik hartanah di Negeri Melaka yang mungkin tidak mempunyai akses internet atas pelbagai faktor terutama mereka yang tinggal di kawasan kampung.
“Berikutan itu pegawai di pejabat daerah dan tanah di ketiga-tiga daerah sedia membantu mereka. Selain itu kita juga mempunyai perkhidmatan bergerak bagi memudahkan pengguna melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Ketika ini kami giat menjalankan promosi agar oang ramai lebih mengenali dan sedar dengan kewujudan e-bil serta kelebihan menggunakannya.
“Palaksanaan e-bil memberikan penjimatan sebanyak RM600,000 kepada kami, kerana tidak perlu lagi mencetak penyata seperti sebelum ini. Hasil penjimatan itu akan digunakan untuk menambahbaik sistem yang ada untuk memudahkan lagi urusan orang ramai,” katanya.
Mengulas lanjut Noraini berkata, cukai tanah ditafsirkan sebagai sewa mengikut Seksyen 5, Kanun Tanah Negara 1965.
“Untuk pengetahuan semua tanah adalah kepunyaan Kerajaan Negeri, berikutan itu dikenakan sewa atau dipanggil cukai tanah. Sebab itu setiap yang diberikan hak milik perlu melunaskan cukai sebelum 31 Mei setiap tahun.
“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua pemilik agar menjalankan tanggungjawab masing-masing, kerana hasil yang dikutip akan disalurkan untuk pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.