Lebih satu jam ‘lawan’ buaya tembaga
JASIN, 17 April – Seekor buaya tembaga dianggarkan seberat lebih satu tan dan sepanjang 4.5 meter berjaya ditangkap sekumpulan nelayan di Pantai Siring, Pulai di sini hari ini.
Seorang nelayan Mohd Amin Mohd Yatim, 53, berkata dia menemukan reptilia itu kira-kira 10.15 pagi lebih kurang 50 meter dari pinggir pantai berkenaan.
“Saya terus menghubungi beberapa rakan, sebelum kemudian menggerakkan empat bot untuk menangkap buaya terbabit bersama-sama tujuh rakan.
“Kami berdepan detik cemas apabila terpaksa bergelut dengan buaya itu yang bertindak agresif dan kami mengambil masa kira-kira satu jam setengah sebelum berjaya menangkapnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Amin berkata dia sememangnya mengetahui kewujudan buaya di pantai berkenaan sejak setahun lepas, namun tidak sebesar saiz buaya yang ditangkap hari ini.
Amin Ali, 64, pula berkata dia yang sedang menjaring ikan bersama isteri, Norizah Abdul, 54, segera menghampiri rakan-rakannya untuk membantu apabila melihat keadaan agak cemas.
Amin yang menjadi nelayan sejak 40 tahun lepas berkata kehadiran buaya di pantai itu dilihat sejak setahun lepas ketika turun ke laut, namun dia tidak pernah diganggu ketika menangkap ikan.
“Saya jumpa buaya kira-kira enam kali sebelum ini tetapi ukurannya hanyalah kecil dan sederhana sahaja… kali ini saiznya agak besar,” katanya
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Merlimau Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Abu Bakar berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan penemuan buaya itu kira-kira 12.06 tengah hari tadi.
“Sejurus tiba, bomba dapati seekor buaya tembaga sepanjang 4.5 meter dalam keadaan telah diikat pada bahagian ekor dan mulut selepas berjaya ditangkap oleh nelayan.
“Pihak bomba menggunakan jentera lori dari BBP Ayer Keroh bagi menyerahkan buaya itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.