Lebih RM92 juta dana MARA bantu usahawan di Sabah sejak 2020
SANDAKAN, 24 Mei – Lebih RM92 juta diperuntukkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu meningkatkan produktiviti usahawan di Sabah agar lebih berdaya saing seiring tekanan ekonomi semasa.
Pengerusinya Datuk Azizah Mohd. Dun berkata dana itu diperuntukkan sejak negara dilanda pandemik COVID-19 pada 2020 hingga April lepas.
“Pelbagai usaha juga dilakukan oleh MARA untuk usahawan, antaranya ialah Program MARA Prihatin: Peace of Mind 4.0 bertujuan meringankan beban peminjam bantuan pelajaran dan pembiayaan perniagaan MARA khususnya kepada individu yang terjejas pandemik berkenaan.
“Para peminjam MARA diminta tidak melepaskan peluang kemudahan yang dilaksanakan oleh MARA bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi ekoran pandemik COVID-19 sepanjang lebih dua tahun lepas,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Program Peace of Mind 4.0 dan Majlis Apresiasi Usahawan MARA Sabah 2022 di sini malam tadi.
Menurut Azizah, bagi peminjam pembiayaan perniagaan MARA pula, agensi tersebut menyediakan kemudahan Program Pemulihan Kredit melalui kaedah penjadualan dan penstrukturan semula bayaran balik.
Katanya, kemudahan itu memberi peluang kedua kepada pelanggan untuk membuat bayaran dengan melanjutkan tempoh biaya sehingga 10 tahun.
Ahli Parlimen Beaufort itu berharap inisiatif berkenaan dapat membantu para peminjam mengurangkan komitmen bayaran ansuran agar dapat memperbaiki semula kedudukan kewangan syarikat mereka.
“Malah, melalui inisiatif ini, mereka (peminjam pembiayaan perniagaan MARA) berpeluang menangguhkan tindakan perundangan yang sepatutnya dikenakan terhadap peminjam selain memberi peluang kedua untuk menambah baik kedudukan kredit dengan MARA,” jelasnya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.