Lebih RM5.6 juta tidak dapat dimanfaatkan 934 KRT kurang aktif

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 25 Mac – Sebanyak 934 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara dikesan kurang aktif sekaligus berisiko tidak mendapat manfaat peruntukan berjumlah RM5.6 juta.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Wira Halimah Mohamed Sadique berkata, angka itu adalah daripada 8,674 KRT yang menjadi jentera perpaduan di bawah kementerian itu di seluruh negara untuk mendapat peruntukan keseluruhan RM50 juta yang diumumkan sebelum ini.

“Daripada 8,274 KRT, kita mengesan 934 adalah kurang aktif namun kita tidaklah akan tamatkan mereka sebaliknya akan melalui proses pemilihan baharu.

“Kalau tidak aktif, tak adalah kita beri (peruntukan RM50 juta). Kita beri pada KRT yang aktif,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga Negeri Melaka 2021- 2030 dan Program Malaysia Prihatin Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Vaksin Untuk Semua di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar Ismail Othman.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, beliau mengalu-alukan lebih banyak KRT ditubuhkan di seluruh negara bertepatan dengan pindaan Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751) yang menetapkan satu KRT bagi setiap 1,000 buah rumah berbanding 1,500 rumah sebelum ini.

“Dengan penjenamaan baharu ini KRT ini dia akan ada nilai kerja, dulu kita ada gerak kerja, tapi kali ini kita lebih mantapkannya.

“Kita ada empat gerak kerja utama dan kemudian kita susun balik buku pentadbiran dan pengurusan itu,” katanya.

Tahun lalu, Kementerian Perpaduan Negara mengumumkan lebih 8,000 Rukun Tetangga menerima manfaat peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2021.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

901
Kongsi :
Previous post Sulaiman ‘tabik’ perih getir pengorbanan polis
Next post Eksesais MANTIS disambung hingga 2024
Ubah saiz-+=