
LEBIH RM370,000 DISALURKAN UNTUK SUMBANGAN IHYA RAMADAN PARLIMEN KOTA MELAKA
TELOK MAS 19 Mac – Sebanyak RM378,000 disalurkan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi sumbangan Ihya’ Ramadan dan utiliti masjid serta surau bagi Parlimen Kota Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah peruntukan itu turut merangkumi sumbangan ‘one-off’ kepada ahli jawatankuasa masjid, pengurusan jenazah wanita dan penggali kubur.
“Saban tahun Kerajaan Negeri tidak pernah ketinggalan dalam menyampaikan sumbangan kepada rakyat Negeri Melaka khususnya pada bulan Ramadan.
“Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui MAIM memperuntukkan sebanyak RM378,000 untuk Ihya’ Ramadan dan utiliti masjid termasuk surau kepada 24 buah masjid serta 102 surau kariah dalam Parlimen Kota Melaka.
“Selain itu, imam, bilal dan noja di 24 buah masjid turut menerima sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM500 setiap seorang membabitkan keseluruhan peruntukan RM48,000 yang disalurkan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Ab Rauf berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri, Parlimen Kota Melaka, di Masjid Al-Aziz Kampung Pernu, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman merangkap Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri; Adun Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Adun Bandar Hilir, Leng Chau Yen serta Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong.
Menurut Ab Rauf, pada majlis itu juga seramai 150 orang penerima dari lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Telok Mas, DUN Duyong, DUN, Bandar Hilir, DUN Kesidang dan Kota Laksamana dipilih menerima sumbangan.
“Sejumlah RM15,000 pula diperuntukkan untuk sumbangan bantuan beserta kit makanan pada program ini.
“Besar harapan saya, agar sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan sepanjang menjalani bulan Ramadan serta persiapan menyambut perayaan Aidilfitri,” katanya.
Jelas beliau, di pihak Kerajaan Negeri beliau turut menyeru kepada rakyat Melaka khususnya badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan untuk bersama-sama menghulur bantuan serta menyantuni golongan yang memerlukan bantuan tanpa mengorak latar belakang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.