Lebih RM33 juta kerugian tipu dalam talian di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Disember – Kes penipuan dalam talian di Melaka merekodkan kerugian bernilai lebih RM33 juta dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, jumlah kerugian yang diperolehi dalam tempoh 10 bulan itu melibatkan 1,496 laporan yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya daripada jumlah laporan diterima, kes pembelian dalam talian merekodkan kes tertinggi dengan 316 kes diikuti kes penipuan termasuk secara bersemuka seperti tawaran mendapatkan pingat, jual beli tanah atau sewa tapak niaga dan sebagainya merekodkan sebanyak 259 kes.

“Bagi jumlah kerugian, kes tipu pelaburan merekodkan kerugian tertinggi dengan lebih RM12 juta manakala bagi tipu lain termasuk secara bersemuka merekodkan kerugian berjumlah lebih RM7 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan Program Bayaran Insentif Sara Hidup One-Off Fasa Keempat kepada nelayan di Kompleks Japerun Tanjung Bidara di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi mengurangkan aktiviti jenayah penipuan dalam talian, Polis Melaka melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk menerusi tangkapan, pertuduhan kertas siasatan dan program pencegahan.

“Bagi tempoh 10 bulan tahun ini, sebanyak 787 tangkapan telah dibuat dan daripada jumlah itu 562 individu telah didakwa melibatkan 508 kertas siasatan.

“Selain itu, sebanyak 189 program kesedaran dan aktiviti pencegahan jenayah dijalankan dalam usaha mengurangkan kegiatan ‘scammer’ di Melaka,” katanya.

Fairul Nizam berkata, meskipun pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk melaksanakan kempen kesedaran menerusi pelbagai agensi seperti Jabatan Penerangan dan PDRM, namun sikap individu itu sendiri yang mudah tergoda dengan tawaran ‘menarik’ ‘scammer’ membuatkan mereka tertipu.

Justeru katanya, tuan badan sendiri perlu ada kesedaran dan ambil peluang untuk melakukan semakan dengan bank berkaitan sekiranya tawaran diberikan melibatkan bank tersebut.

“Buat semakan dan pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang permohonan. Selain itu sekiranya berlaku kegiatan siber buli, cepat-cepat laporkan kepada pihak berkuasa mahupun menerusi talian 997,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

785
Kongsi :
Previous post 8 pelajar Australia berkampung di Melaka teroka budaya tempatan
Next post TMM2024 beri nafas baharu industri perhotelan Melaka
Ubah saiz-+=