
LEBIH RM145,000 SINARI RAMADAN DUN TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 5 Mac – Sejumlah lebih RM145,000 disalurkan Kerajaan Negeri bagi menyampaikan sumbangan Ramadan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan itu bukan sahaja diperuntukkan kepada golongan asnaf, bahkan ia juga merangkumi tujuh buah masjid dan 33 surau di kawasan Tanjung Bidara.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, sumbangan kepada asnaf melibatkan peruntukan berjumlah RM28,000 yang diagihkan kepada 280 asnaf dalam kawasan Tanjung Bidara.
Tambah beliau, sejumlah RM117,350 lagi pula, diperuntukkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk sumbangan Ihya’ Ramadan, utiliti masjid dan surau, ahli jawatankuasa masjid serta pengurusan jenazah wanita dan penggali kubur.
Selain itu, ujar beliau, imam 1, imam 2, bilal serta noja turut menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang daripada Kerajaan Persekutuan yang akan disalurkan terus ke akaun masing-masing.
“Saban tahun, Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan tidak pernah lupa untuk menyalurkan bantuan-bantuan yang selayaknya, lebih-lebih lagi di bulan mulia ini bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Ia tentunya sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan negeri dalam menitikberat kebajikan setiap rakyat di bumi bertuah ini kekal sejahtera semuanya tanpa ada yang tercicir.
“Manfaatkanlah sumbangan ini sebaik-baiknya khususnya sumbangan masjid dan surau agar dapat terus memberi kesejahteraan kepada semua yang menggunakan fasiliti ini untuk menunaikan amal ibadat. Saya mahu masjid dan surau ini sentiasa dalam keadaan baik dan bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Peringkat DUN Tanjung Bidara di Masjid Sultan Ibrahim, Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menzahirkan harapan agar sumbangan yang diberi dapat mengukir sinar kegembiraan bagi meringankan beban perbelanjaan penduduk dan masjid-masjid dalam mengimarahkan aktiviti sepanjang bulan Ramadan.

Selain penyampaian sumbangan, majlis itu diserikan dengan ceramah agama, selain jamuan berbuka puasa bersama warga DUN Tanjung Bidara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.