Lebih RM105 juta disalurkan untuk bantuan kebajikan

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 30 November – Lebih RM105 juta dibelanjakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini dalam menyediakan perkhidmatan bantuan kebajikan kepada rakyat negeri ini yang layak.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, daripada jumlah itu setiap bulan JKM menyalurkan RM10,549, 909.30 kepada penerima bantuan yang terdiri daripada keluarga miskin, golongan kurang upaya, warga emas dan rakyat berkeperluan serta layak menerima bantuan.

“Berdasarkan statistik JKM dari Januari hingga Oktober 2023, JKM telah menyalurkan sebanyak RM105, 499, 093 kepada penerima bantuan yang layak dan daripada jumlah itu seramai 26,960 individu menerima manfaatnya.

“Bantuan kewangan ini amat penting bagi memastikan kebajikan dan keperluan asas penerima bantuan yang layak di seluruh Melaka dapat dipenuhi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Pantai Kundor Tuminah Kadi@Mohd Hashim (BN-Pantai KKundor) pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, hari ini.

Menurut beliau, selaras dengan prinsip perkhidmatan bantuan yang mana pemberian bantuan kebajikan tidak mengamalkan konsep Negara Kebajikan, Kerajaan Negeri menerusi JKM juga mengambil beberapa pendekatan dalam usaha mengurangkan penerima sumbangan kebajikan sekaligus membawa keluar penerima daripada garis kemiskinan.

“Antara pendekatan yang dilaksanakan oleh JKM adalah mengadakan pengoperasian Projek ProWell yang bertujuan memperkasakan ekonomi untuk golongan berkeperluan khas dan Program 2 Years Exit Programme (2YEP) yang mengadakan program keusahawanan bagi menggalakkan penerima bantuan mampu berdikari dan seramai 310 penerima sudah menyertai program ini yang membabitkan peruntukan sebanyak RM883,500.

“Manakala pendekatan ketiga dilakukan Program Pemerkasaan Ekonomi (EEP) yang mana ia memberi alternatif dan peluang kepada warga emas di Pusat Aktiviti Waraga Emas (PAWE) untuk meluaskan peluang penjanaan ekonomi termasuk pembangunan warga emas.

“Diikuti Program Perkhidmatan Job Coach yang diperkenalkan untuk menggalakkan pekerjaan kekal kepada orang kurang upaya (OKU) di pasaran pekerjaan terbuka dan pendekatan kelima adalah Program Kerjasama Strategik Petronas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

647
Kongsi :
Previous post Misi pelaburan ke luar negara dijangka bawa nilai pelaburan RM4.5 bilion
Next post Melaka tuan rumah ASEAN Cup International Regatta 2024
Ubah saiz-+=