Lebih rela petik cili di Lubok China dari petik anggur di Australia
AYER LIMAU 30 Mac – Walaupun pernah menikmati keindahan memetik anggur di Melbourne, Australia selama setahun, ia disifatkan tidaklah seindah memetik cili besar di kebun sendiri.
Itu pengakuan seorang usahawan tani, Ady Irwan Samsuddin, 36, berkongsi pengalamannya yang pernah berkhidmat di ladang anggur itu selama setahun sebelum kembali ke tanah air pada September tahun lalu.
Baginya, nikmat berada di negara Kanggaru itu tidaklah seindah memetik cili merah dan hijau di kebunnya di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina.
Meskipun terpaksa bermandi peluh di bawah terik cahaya matahari ketika memetik cili, berbanding suasana sejuk memetik anggur di ladang milik rakyat Australia, Ady Irwan lebih gembira memetik cili cili merah dan hijau hasil titik peluhnya sendiri di kebunnya seluas 0.1 hektar.
“Cili ini mula ditanam dalam 1,800 poli beg pada Januari lalu dengan menggunakan teknik fertigasi di atas para besi ‘T Section’ yang amat jarang digunakan usahawan tani lain berikutan kosnya yang tinggi berbanding teknik fertigasi konvensional di atas tanah.
“Selepas 70 hari, iaitu tempoh yang disyorkan oleh pegawai Jabatan Pertanian sebagai yang paling sesuai untuk memetik cili, saya mula memetik pada Khamis lalu dan memperoleh 90 kilogram (kg).
“Alhamdulillah, hari ini saya memperoleh 125 kg dan memasarkannya kepada peniaga di Pasar Masjid Tanah dan kedai runcit pada harga antara RM8 hingga RM9.50 bagi cili merah dan antara RM7 hingga RM8 cili hijau,” katanya.
Ady Irwan ditemani isteri, Norhidayah Naim, 33, anak mereka, Humaira Batrisya, 10, dan anak saudara, Anis Mariam Mohd Sidek, 11, serta ibu saudara, Norlidah Hamdan, 53, memulakan kerja pada jam 9 pagi dan berakhir tiga jam kemudian.
“Walaupun bagi setiap kotak anggur saya dibayar 8 Australian Dollar atau AU$8, ia tidak bagitu seronok sebagaimana saya sedang nikmati sekarang.
“Bagi saya, adalah lebih baik keringat saya tumpah di sini atas usaha saya sendiri berbanding peluh yang membasahi tubuh di negara orang yang sekadar makan gaji,” katanya.
Menceritakan bagaimana dia boleh mencuba nasib di Australia, Ady Irwan berkata ia kerana dorongan mengikut adik ipar lelakinya yang sudah lama bekerja di negara berkenaan hingga membolehkannya memperoleh ‘Permanent Visa Protection Australia.’
“Namun bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
“Sebaik kembali ke tanah air, saya dan isteri merancang mengusahakan cili besar kerana prospek pasaran yang amat luas,” katanya yang mengeluarkan modal tidak kurang RM40,000 untuk merealisasikan impian menjadi usahawan tani berjaya dalam penghasilan cili besar.
Katanya, kaedah penanaman di atas para dipilih kerana ia memudahkan usaha memetik cili, selain penjagaan yang lebih mudah berbanding kaedah konvensional.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.