Lebih lapan jam bomba padan kebakaran gudang simpanan bahan kimia
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Tarmizi Abdul Salam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.45 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap digegaskan ke lokasi kejadian.
“Ketika bomba tiba, api sedang marak dan peratusan kebakaran pada masa itu (ketika sampai ke lokasi) dianggar lebih 70 peratus iaitu membabitkan tiga bahagian struktur tempat penyimpanan di situ.
“Gudang itu berkeluasan 3,716 meter persegi yang menyimpan pelbagai bahan kimia dan cecair mudah terbakar sekali gus menyebabkan api cepat merebak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata lebih 100 pegawai dan anggota bomba dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bersama 10 jentera terlibat dalam operasi pemadaman.
Mohamad Tarmizi berkata setakat 5 petang tadi, operasi pemadaman sudah di peringkat akhir dan pihaknya sedang melakukan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan api serta bara padam sepenuhnya.
Beliau berkata kejadian tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan manakala punca serta jumlah kerugian sedang disiasat.
“Cuma sebuah jentera bomba PBS yang terlibat dalam operasi itu nyaris terbakar akibat terkena serpihan letupan daripada api yang sedang marak,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.