Lebih banyak Lesen Sampan Khas dikeluarkan 2021

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

KUALA LINGGI 5 Sept – Sebanyak 141 Lesen Sampan Khas dianugerahkan Jabatan Perikanan negeri kepada nelayan tahun ini berbanding hanya 30 tahun lalu.

Peningkatan itu adalah berikutan rayuan nelayan untuk beroperasi secara sah berbanding terpaksa turun ke laut dengan penuh kebimbangan ditahan pegawai penguat kuasa jabatan berkenaan kerana tidak memiliki lesen.

Ketua Pengarahnya, Ahmad Tarmidzi Ramli menjelaskan, lesen itu dikeluarkan selepas jabatan berkenaan menjalankan kajian mengenai jumlah nelayan dan sumber perikanan yang sedia ada dan jangkaan pada masa hadapan.

“Untuk daerah Alor Gajah dan Masjid Tanah sahaja, sebanyak 34 lesen diberikan bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah,” katanya selepas majlis penyerahan lesen berkenaan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani I, Datuk Seri Ahmad Hamzah di pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) di Kuala Sungai Baru, di sini semalam.

(Dari kiri) Hasbullah, Mohd Safwan, Othman, Hisham dan Aziz berkongsi kegembiraan menerima Lesen Sampan Khas.

Sementara itu, nelayan Othman Ibrahim, 64, berkata dia mengucapkan syukur kepada Allah dan terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar keluhan dan rayuan nelayan.

“Selepas menunggu kira-kira lima tahun, Alhamdulillah permohonan untuk mendapatkan lesen itu diluluskan baru-baru ini dan hari ini kami menerimanya dengan penuh kesyukuran.

“Jika sebelum ini kami turun ke laut dengan perasaan bimbang ditangkap pegawai penguat kuasa Jabatan Perikanan atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sekarang kami tidak perlu bimbang lagi,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya lesen itu, nelayan layak untuk memohon Elaun Sara Hidup Nelayan dan E-Petrol bagi meringankan beban kos sara hidup serta kos bahan api.

Hasbullah Kassim, 50, berkata penganugerahan lesen berkenaan memberikan semangat kepadanya untuk mendaratkan lebih banyak ikan dan udang berikutan ‘kebebasan’ untuk beroperasi.

“Sudah lebih lima tahun saya menunggu untuk mendapatkan lesen itu, baru sekarang saya mendapatnya dan ia meningkatkan semangat untuk mendapatkan lebih banyak hasil tangkapan,” katanya.

Mohd Safwan Mohamad, 39, berkata walaupun tidak pernah ditahan pegawai penguat kuasa Jabatan Perikanan ketika menangkap ikan, dia tetap bimbang setiap kali turun ke laut kerana seolah-olah ‘pencuri’ di tengah laut kerana menangkap ikan tanpa lesen.

Hisham Jaafar, 26, berkata pemberian lesen itu bukan setakat melegakannya, malah menjadi pendorong untuknya berusaha lebih kuat untuk meningkatkan jumlah tangkapan.

“Dahulu saya takut-takut untuk membuang jaring di tengah laut tetapi sekarang ia sudah tiada lagi dan saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Jabatan Perikanan kerana mendengar suara nelayan seperti saya,” katanya.

Aziz Talib, 42, berkata selepas menunggu lebih tujuh tahun, beliau amat bersyukur diberikan lesen berkenaan, sekali gus melayakkannya memohon Elaun Sara Hidup Nelayan dan E-Petrol.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

675
Kongsi :
Previous post Banjir di Johor: 136 mangsa ditempatkan di dua PPS
Next post Vaksinasi remaja bawah 18 tahun di Sarawak bermula Rabu ini
Ubah saiz-+=