Sorting by

×

Lebih baik BN jadi pembangkang – Hishammuddin

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Tetap dengan pendirian menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata adalah lebih baik parti itu berperanan sebagai pembangkang sekiranya rundingan pembentukan kerajaan Persekutuan masih buntu.

“Terdapat banyak spekulasi ketika ini tentang apa yang sedang berlaku. Dalam apa jua formula atau rundingan, pendirian saya jelas dan tidak akan saya kompromi.

“Sekiranya masih tiada persefahaman dan kata putus, adalah lebih baik BN berperanan sebagai pembangkang dan saya bersedia untuk itu,” kata Hishammuddin dalam catatan di Facebook beliau.

Hishammuddin yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov berkata apa pun yang terjadi, beliau tetap setia bersama UMNO dulu, kini dan selamanya serta akan bekerja keras demi memulihkan parti itu dan BN bersama rakan-rakan yang lain.

PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, BN 30; Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga), Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Ketua parti politik dan gabungan parti politik diberi tempoh hingga 2 petang ini untuk mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah gabungan pasca-PRU15 bagi pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1883
Kongsi :
Previous post Agong titah akan buat keputusan pelantikan PM dalam masa terdekat
Next post BN tidak sokong PH atau PN, setuju jadi pembangkang – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=