Sorting by

×

Lebih 96 jam padam kebakaran

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

JASIN 2 MAC – Pemadaman kebakaran belukar dan ladang kelapa sawit di Bukit Durian, Umbai, di sini, akhirnya ditamatkan petang ini selepas empat hari operasi dijalankan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.

Operasi itu tamat kira- kira jam 6.39 petang tadi selepas kebakaran yang membabitkan keluasan lebih 20 hektar itu berjaya dipadam sepenuhnya oleh pasukan bomba.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, kebakaran yang bermula pada jam 4.59 petang Jumaat itu membabitkan kira- kira 40 anggota yang bertungkus lumus memadam kebakaran.

“Dalam operasi itu kita menempatkan pasukan bertugas di empat ‘checkpoint’ utama lokasi bagi mengawal api daripada terus merebak ke lokasi lain.

“Walaupun operasi pemadaman mengambil masa lebih 48 jam kita tidak berdepan gangguan bekalan air kerana terdapat tali air berdekatan ,” katanya ketika dihubungi.

MUHAMMAD Izwan Arief Mat Nor menunjukkan kawasan kebakaran.

Menurut beliau, keadaan cuaca kering dan panas menjadi faktor penyumbang kepada kebakaran merebak dengan cepat selain keadaan angin kuat dan tanah gambut menjadi cabaran sepanjang operasi pemadaman.

“Pihak kami menerima panggilan kebakaran pada jam 4.59 petang Jumaat dengan kira- kira 35 peratus kawasan itu sudah terbakar,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Izwan berkata, lokasi kebakaran yang terletak kira- kira 300 meter dari Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) turut merisikokan pengguna jalan raya ekoran asap.

“Apa yang merisaukan kami adalah pengguna jalan raya sekiranya kebakaran tidak dapat dipadam dalam masa terdekat bagaimana Alhamdulillah tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

478
Kongsi :
Previous post Kes positif COVID-19 menurun kepada 1,555 kes
Next post PBKD lulus pendaftaran bersyarat bagi vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=