
Lebih 90 peratus penginapan pekerja asing tidak patuhi Akta 446
KUALA LUMPUR 3 Dis. – Penginapan yang disediakan kepada 1.4 juta atau 91.1 peratus pekerja asing di negara ini, tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata statistik ini amat membimbangkan, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19.
“Kerajaan menerima permohonan Perakuan Penginapan membabitkan hanya 143,587 atau 8.89 peratus daripada 1.6 juta pekerja asing di negara ini setakat, 31 Okt lepas.
“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa majikan dan penyedia penginapan berpusat yang menyediakan penginapan kepada 1.4 juta pekerja asing di Malaysia masih gagal memohon perakuan itu daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
–BERNAMA