Lebih 800 pemancing berentap rebut RM10,000 di Sungai Melaka
KOTA LAKSAMANA 3 September – Lebih 800 pemancing membanjiri persisiran Sungai Melaka Fasa 2 bagi berentap merebut gelaran juara dalam Pertandingan Memancing (Pra Joran) di Sempena Bulan Kemerdekaan 2023 hari ini.
Program berlangsung di Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Pengkalan Rama menerima sambutan luar jangka apabila pertandingan yang dijangka hanya disertai 500 peserta meningkat pada saat akhir di meja pendaftaran bagi merebut hadiah utama RM10,000
Tinjauan mendapati, peserta mula memenuhi perkarangan pejabat itu seawal jam 7 pagi tadi dari seluruh negeri malah turut disertai peserta daripada Johor, Selangor, Perlis serta pelbagai negeri lagi.
Terdahulu, program itu dimulakan selepas disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Sa’ari Basiron.
Pertandingan julung kali diadakan itu turut menawarkan RM5,000 bagi tempat kedua diikuti RM3,000 bagi ketiga serta 47 saguhati buat pemancing.
Pada program itu juga turut diadakan Pertandingan Memasak yang bakal dimulakan tepat jam 1.00 tengah hari nanti dijadual akan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hasil tangkapan pemancing yang menyertai pertandingan itu akan terus dimasak dalam pertandingan memasak ikan air tawar disertai kira-kira 50 pemancing.
10 hadiah ditawarkan bagi pertandingan memasak iaitu RM1,000 bagi pemenang utama diikuti RM500 bagi kedua dan RM200 buat pemenang ketiga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.