
LEBIH 75,000 NIKMATI ‘HADIAH’ MASUK PERCUMA DI MELAKA
BANDA HILIR 21 Februari – Dianggarkan lebih 75,000 pengunjung menikmati hadiah istimewa berupa kemasukan percuma di 13 produk pelancongan terpilih seluruh Negeri Melaka.
Ia bersempena cuti umum memperingati ulang tahun Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada tanggal 20 Februari.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mewakili Kerajaan Negeri menzahirkan rasa syukur di atas sambutan hangat yang diterima pada edisi kedua tawaran istimewa itu diadakan.
“Lebih menggembirakan saya apabila rata-rata yang menikmati produk pelancongan percuma ini adalah rakyat Melaka sendiri memandangkan Melaka sahaja yang mengisytiharkan cuti umum pada tanggal 20 Februari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Rapat Umum Bahtera Merdeka sempena Sambutan Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di hadapan Muzium Belia, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, Ab Rauf bersama lebih 10,000 pengunjung telah menyaksikan imbauan nostalgia tahun 1950-an menerusi pelbagai persembahan berkonsepkan retro dan muzikal yang dibawakan khas.
Istimewanya, Ketua Menteri turut menyertai perarakan istimewa bersama masyarakat berbilang kaum yang membawa sepanduk dan berpakaian gaya orang lama dengan berkemaja putih dan berseluar hitam sebagai gimik pembukaan majlis.
Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan pertunjukan bunga api mengakhiri majlis penuh gilang-gemilang yang dianjurkan Kerajaan Negeri.
Terdahulu, pada sebelah pagi hingga 5 petang, warganegara Malaysia telah menikmati 13 produk pelancongan secara percuma ditawarkan Kerajaan Negeri bersempena cuti umum 20 Februari.
Antara lokasi pelancongan yang mengambil bahagian adalah Melaka River Cruise; Menara Taming Sari; muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM); Zoo Melaka dan Kompleks Air Panas Gadek.
Selain itu, ia turut membabitkan Melaka Wonderland Theme Park; A’Famosa Water World; Air Panas Cherana Putih; Muzium Penjara Malaysia Melaka; Balai Cerap Al-Khawarizmi; Melaka River Park; lima kelab golf di Melaka dan Jom Membatik @ Kompleks Kraf Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.