Lebih 70 peratus responden dakwa rangkaian Internet di Melaka kurang memuaskan
AYER KEROH – Lebih 70 peratus pelayar Internet di negeri ini meluahkan rasa tidak puas hati terhadap capaian jalur lebar, menurut kaji selidik dilakukan Melaka Hari Ini.
Majoriti 73.3 peratus itu direkodkan daripada keseluruhan 1,577 responden yang mengambil bahagian dalam pengumpulan maklumat bermula 15 Februari sehingga 10 Mac lalu.
Kaji selidik ini mengemukakan enam soalan mengenai tahap kepuasan pengguna Internet di Melaka membabitkan majoriti responden iaitu 97.8 peratus atau 1,543 daripada keseluruhan 1,577 respoden adalah dari Melaka.
Daripada jumlah itu juga, majoriti responden iaitu 73.3 peratus atau 1,156 responden memilih tahap kepuasan penggunaan Internet kurang serta tidak memuaskan,” demikian berdasarkan hasil keputusan kaji selidik itu.
Manakala hanya 20.4 peratus atau 322 responden memberi komen memuaskan, 4.2 peratus (66) amat memuaskan dan 2.1 peratus atau 33 lagi responden tidak pasti.
Hasil kaji selidik juga mendapati 71.1 peratus atau 1,121 responden meluangkan masa lebih lima jam sehari untuk melayari Internet berbanding 19.8 peratus (312 responden) antara tiga hingga lima jam sehari.
Seramai 8.9 peratus lagi (140 responden) menghabiskan masa satu hingga tiga jam sehari diikuti 0.2 peratus (tiga responden) kurang daripada itu.
Keputusan kaji selidik turut mendapati lebih separuh iaitu 50.3 peratus responden juga didapati melayari Internet menggunakan telefon bimbit iaitu seramai 793 orang.
Hampir separuh lagi iaitu 48.3 peratus (762 responden) pula menggunakan empat peranti pintar dalam satu-satu masa iaitu telefon bimbit, tablet, komputer meja dan komputer riba untuk mengakses Internet.
Mereka yang hanya menggunakan komputer meja dan komputer riba pula adalah seramai 1.2 peratus atau 19 responden selain bakinya 1.2 peratus membabitkan tiga responden menggunakan kaedah lain untuk mengakses Internet.
Dari sudut demografi daerah pula, kaji selidik membabitkan responden terbesar dari daerah Melaka Tengah iaitu 47.3 peratus (746 responden), Jasin, 24.2 peratus (382) dan Alor Gajah 12.6 peratus (199) serta bakinya 15.9 peratus atau 251 responden dari luar ketiga-tiga daerah berkenaan.
Bagi medium akses Internet pula, 26 peratus (410 responden) menggunakan pelan pasca bayar, 24.8 peratus (391) memilih pelan prabayar, Home Broadband, 12.6 peratus (198 ), TM Streamyx, 12.3 peratus (194) , Home Broadband pasca bayar 9.4 peratus (148) dan Home Broadband prabayar, sebanyak 5.9 peratus atau 93 responden.
ARTIKEL BERKAITAN : Solusi optimumkan rangkaian internet Melaka
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.