Lebih 5,000 pengunjung meriahkan sambutan Rumah Terbuka Gadek

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

GADEK 21 April – Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek berlangsung meriah apabila dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

Sambutan berlangsung di Bandar Satelit, Pulau Sebang, di sini, turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman selain Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, VP Shanmugam berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila penganjuran rumah terbuka itu mendapat sambutan diluar jangkaan kerana pada awalnya sasaran kehadiran antara 3,000 hingga 4,000 orang sahaja.

“Sambutan kali ini berbanding tahun lalu memang membanggakan kerana ia menunjukkan rakyat memberi kerjasama untuk kita melaksanakan program yang membabitkan kesemua lapisan masyarakat.

“Kita jangkakan paling ramai 4,000 tetapi berdasarkan pendaftaran nombor bertuah seramai 5,000 orang yang berdaftar namun saya rasa jumlah kehadiran mungkin lebih ramai lagi.

“Rumah terbuka kita ini juga terbuka kepada semua sama ada penduduk di DUN Gadek mahupun kawasan bersebelahan seperti Tampin, Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, bagi meraikan tetamu yang hadir pihaknya menyediakan lebih 23 juadah.

“Juadah menarik yang menjadi perhatian pengunjung adalah kambing golek meskipun perlu beratur lama namun mereka tetap bersabar dan beberapa hidangan lain seperti lempeng kelapa, cucur serta roti canai turut mendapat perhatian.

“Selain itu turut disediakan peralatan permainan e-Sport kepada pengunjung yang hadir terutamanya generasi muda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

181
Kongsi :
Previous post Aidilfitri Machap Jaya kongsi kemeriahan bersama Orang Asli
Next post Persiapan HBN2024 giat dijalankan
Ubah saiz-+=