![Whatsapp Image 2023 01 19 At 20.02.44](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2023/01/WhatsApp-Image-2023-01-19-at-20.02.44.jpeg?v=1674129970)
Lebih 5,000 dijangka meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Melaka
BANDA HILIR 20 Januari – Kerajaan Negeri menyasarkan lebih 5,000 pengunjung bakal memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023 yang akan berlangsung pada 23 Januari ini.
Majlis tersebut akan diadakan di Dewan Besar Kampung Permai Machap Umboo.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, majlis rumah terbuka itu buat julung kalinya diadakan di Machap Umboo.
“Ini pertama kali kita buat sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Melaka di luar Daerah Melaka Tengah, selalunya kita adakan di Jonker Walk tapi kali ini ada kelainan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023 di sebuah restoran Baba Nyonya di sini petang tadi.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Sa’ari Basiron.
Dalam majlis ringkas itu juga, Muhammad Jailani sempat menyampaikan sumbangan kepada wakil pengamal media Melaka yang akan menyambut Tahun Baharu Cina.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.