Lebih 5,000 aduan rakyat diselesaikan setakat Julai – KM
JASIN 11 Ogos – Kerajaan negeri berjaya menyelesaikan sebanyak 5,075 aduan rakyat diterima daripada pelbagai sumber bermula 1 Januari hingga 31 Julai lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, daripada jumlah itu sebanyak 90.19 peratus aduan diselesaikan, manakala 9.81 peratus lagi sedang dalam tindakan.
“Kita terima sebanyak 5,627 aduan setakat Julai lalu yang diselesaikan adalah 5,075, ini menunjukkan hanya 502 aduan masih dalam tindakan agensi berkaitan kerana memerlukan sedikit masa.
“Dengan adanya platform Hari Bertemu Pelanggan ini, orang ramai dapat berkomunikasi dan berinteraksi secara bersemuka bersama penyelaras aduan Jabatan Ketua Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Melaka dan Sambutan Minggu Kesedaran Derma Organ Peringkat Negeri Melaka di Dewan Alamanda Jasin, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Exco Kerjaraya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Pengurusan Banjir dan Infrastruktur negeri, Datuk rahmad mariman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata kerajaan negeri memberikan fokus kepada empat objektif utama menerusi program tersebut dalam usaha menambahbaik pengurusan aduan.
“Pertama adalah meningkatkan keupayaan, kecekapan dan keberkesanan pengurusan aduan masing-masing dengan lebih efektif, kedua mematuhi standard pengurusan aduan ditetapkan berdasarkan amalan terbaik.
“Ketiga menambah baik pendekatan dalam memperoleh dan memahami isu-isu yang dihadapi rakyat.
“Manakala fokus keempat adalah menggunakan maklumat aduan awam untuk menjana inovasi dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam secara berterusan,” katanya.
Program itu membabitkan 12 jabatan dan agensi kerajaan negeri seperti Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), Jabatan Ketua Menteri Melaka selain Pejabat Daerah dan Tanah Jasin (PDTJ).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.