Lebih 40 sukarelawan perubatan Melaka tawar diri bantu asnaf – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BUKIT BARU 15 September – Sekurang-kurangnya 40 sukarelawan dalam bidang perubatan telah bersedia untuk membantu dalam program ‘Houseman Call’ untuk membantu golongan asnaf yang mengalami masalah kesihatan kronik di seluruh negeri ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu telah pun mendapat persetujuan secara dasar selepas dibentangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mingguan pada minggu lalu.

Katanya, kerajaan negeri akan berbincang untuk bekerjasama dengan Mercy Malaysia bagi membantu golongan tidak bernasib baik yang memerlukan rawatan atau pertukaran barangan medikal tetapi tidak mampu ke hospital.

“Setakat ini kita ada 40 orang yang telah mendaftar secara Google Form untuk menjadi sukarelawan Housecall bagi membantu kerajaan negeri khususnya Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan sukarelawan ini akan membantu asnaf yang terlantar sakit mengikut daerah lokasi tempat tinggal sukarelawan.

“Tugasan untuk sukarelawan berkenaan adalah seperti melakukan fisioterapi, menukar tiub makanan, penjagaan luka dan menukar tiub kencing.

“Kita memerlukan lebih ramai sukarelawan kerana ramai dalam kalangan golongan ini (asnaf) terbiar dari segi rawatan kerana mereka tidak mampu untuk menghantar pesakit ke klinik disebabkan faktor kekangan ekonomi.

“Jadi, kepada adik-adik yang sedang belajar perubatan seperti bidang ‘nursing’, Sains Kesihatan ataupun yang baru tamat pengajian dan sedang menunggu tawaran kerja, anda adalah dialu-alukan untuk menjadi sukarelawan, kita sentiasa membuka peluang untuk menjadi sukarelawan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perasmian Klinik Pergigian Sharlindah (KPS) 1 di Bukit Baru, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata para sukarelawan tersebut tidak akan membantu setiap hari dan mengikut kesesuaian serta jadual pesakit terbabit.

Tambahnya, buat mereka yang mahu menjadi sukarelawan tetapi bukan berada dalam bidang perubatan turut digalakkan untuk menjadi sukarelawan dan pihak PKD akan mengajar perkara asas untuk membantu para pesakit mengikut tahap.

“Hal ini kerana pegawai dan pekerja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ditempatkan di klinik-klinik tidak mencukupi.

“Insya-Allah peluang yang diberikan ini turut dibuka kepada mereka yang bukan dalam bidang perubatan, yang ingin turut bersama-sama membantu menjadi sukarelawan turut dialu-alukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2757
Kongsi :
Previous post Polis tahan empat bersaudara, rampas dadah bernilai RM90,000
Next post 43,508 pemilih baharu didaftarkan, semakan bermula hari ini hingga 14 Oktober – SPR
Ubah saiz-+=