Lebih 40 pendaki gunung terperangkap di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi
ALOR SETAR, 16 Okt – Lebih 40 pendaki gunung terperangkap di Air Terjun Telaga Tujuh dekat Langkawi akibat kejadian kepala air yang berlaku pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.16 pagi sebelum 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, bomba dimaklumkan lebih 40 orang pendaki gunung terperangkap akibat kejadian kepala air yang berlaku berikutan hujan lebat yang berlaku pagi tadi. Kesemua pendaki dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun.
“Ikatan tali telah dibuat bagi membolehkan anggota bomba menyeberangi sungai untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap. Setakat ini, lebih 15 mangsa telah berjaya diselamatkan dan proses menyelamat masih berjalan dalam keadaan air sungai yang masih deras,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari yang mengesahkan kejadian berkata pihaknya menerima panggilan daripada Bomba Langkawi yang memaklumkan terdapat lebih 40 mangsa terperangkap di Telaga Tujuh.
Dalam perkembangan sama, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus dalam kenyataan hari ini berkata berlaku kejadian ribut dan banjir yang melibatkan beberapa mukim bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
“Mukim yang terjejas akibat ribut dan banjir adalah Ayer Hangat, Padang Matsirat, Ulu Melaka dan Kuah. Keadaan cuaca di Langkawi sekarang masih hujan lebat serta ribut dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.