Lebih 3,000 dapat petrol percuma

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

LENDU 22 Oktober – Penghantar makanan antara golongan yang memperoleh faedah menerusi Program Isi Minyak Motosikal Percuma Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dan Tanjung Bidara yang berlangsung di stesen minyak Petronas Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Program dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu dan Adun Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu memberi manfaat kepada lebih 3,000 penunggang motosikal sekitar kedua-dua DUN berkenaan.

IMG_8363
Penghantar makan, Muhammad Hafizuddin Atam, 20 dari Lubok Redan, Masjid Tanah. Foto: MR. AZLI

Muhammad Hafizuddin Atam, 20 dari Lubok Redan, berkata, setiap hari dia perlu memperuntukkan RM10 hingga RM15 untuk mengisi petrol motosikal digunakan untuk menghantar pesanan pelanggan.

Katanya, meskipun isian percuma diterima hanya bertahan untuk sehari namun tetap memberikan kelegaan kerana pendapatan hariannya bergantung kepada jumlah pesanan penghantaran diterima.

“Sama seperti perniagaan lain, perkhidmatan kami ada pasang surutnya, jika tempahan penghantaran diterima dalam sehari tinggi jumlah pendapatan diterima agak lumayan.

“Alhamdulillah nampaknya hari ini saya jimat belanja bagi kos petrol, insya-Allah mudah-mudahan murah rezeki hari ini, kalau boleh program seperti ini diadakan dengan lebih kerap kerana memberi kelegaan bagi kami penghantar makanan,” katanya ketika ditemui.

IMG_8362
Zarina Abu Bakar, 52 dari Taman Masjid Tanah. Foto: MR. AZLI

Sementara itu pekerja kontraktor pembersihan Zarina Abu Bakar, 52 dari Taman Masjid Tanah berkata, program itu menjimatkan perbelanjaan petrolnya bagi tempoh lima hari.

“Pemberian petrol percuma ini dianggap amat membantu golongan berpendapatan rendah seperti saya, jimatlah kos untuk berulang alik ke tempat kerja,” katanya.

IMG_8365
Pengunjung, Nor Azizah Abdul Razak@Abdul Sap ,41, dari Taman Bidara Permai, Masjid Tanah. Foto: MR. AZLI

Manakala peminat jentera dua roda klasik jenis Yamaha TZM Nor Azizah Abdul Razak@Abdul Sap ,41, dari Taman Bidara Permai, Masjid Tanah, meluahkan rasa gembira kerana pihak penganjur menawarkan isian penuh bagi setiap motosikal tanpa mengira model atau kapasiti tangki.

“Sebenarnya saya ditemani anak hanya mahu ronda-ronda sekitar Masjid Tanah kerana motosikal kesayangan ini sudah lama tidak ditunggang dan singgah untuk isi petrol.

“Mungkin sudah rezeki saya dapat petrol percuma, alhamdulillah. Mungkin selepas ini saya dan anak akan meronda lebih jauh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3527
Kongsi :
Previous post Petrol percuma bukan ‘gula-gula’ kepada rakyat
Next post Pemberian subsidi bantu tingkatkan pengeluaran telur ayam
Ubah saiz-+=