Sorting by

×

Lebih 3,000 anak asnaf akan terima tablet – MAIM

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 30 Sep – Khabar gembira buat lebih 3,000 anak asnaf di negeri ini kerana mereka akan menerima tablet sumbangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Agensi kerajaan negeri itu menyediakan lebih 3,000 tablet untuk diagihkan kepada anak asnaf bagi memudahkan mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, MAIM memperuntukkan RM3 juta bagi menjayakan program berkenaan yang bertujuan membantu murid sekolah kebangsaan dan pelajar menengah daripada keluarga kurang berkemampuan mengikuti PdPR.

“Insya-Allah peralatan komunikasi itu akan diedarkan Oktober ini berdasarkan senarai nama penerima yang sudah disaring dengan teliti bagi memastikan hanya anak asnaf yang layak menerimanya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, anak asnaf yang terpaksa berkongsi telefon bimbit dengan ibu bapa untuk mengikuti PdPR mampu belajar lebih selesa dengan menggunakan tablet dan diharapkan mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik.

Md Rawi juga berkata, MAIM sudah mengagihkan 23,400 Kit Makanan Kecemasan (Musa’adah) bagi membantu mereka yang terjejas akibat COVID-19 dari Jun hingga Ogos lalu.

Peruntukan RM936,000 dibelanjakan bagi menyediakan kit makanan itu mengandungi beras, gula, tepung, susu, sardin, garam, biskut, kopi dan minuman kordial yang diedarkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) di seluruh negeri ini.

“Ia membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dan MAIM terhadap nasib rakyat yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Katanya, MAIM turut mengedarkan pelitup muka dan tuala kepada tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) membabitkan peruntukan RM100,000 selain menyediakan 2,300 peralatan pengurusan jenazah yang diagihkan kepada masjid dengan kos RM300,000.

“Setiap bulan MAIM memberikan bantuan RM350 kepada lebih 8,000 asnaf, terutama bagi menyediakan bahan makanan untuk mereka.

“Sebanyak RM1.3 juta sudah dibelanjakan untuk program sekali bayar (one-off) kepada asnaf khusus untuk membantu mereka menyambut Aidiladha pada 20 Julai lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

878
Kongsi :
Previous post Lebih 20 juta populasi dewasa lengkap vaksinasi setakat semalam
Next post Lebih 400,000 individu bawah 18 tahun dijangkiti COVID-19 tahun ini – Khairy
Ubah saiz-+=