Sorting by

×

LEBIH 28,000 TERIMA BANTUAN JKM DI MELAKA SEPANJANG 2024

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Februari – Sejumlah lebih RM135 juta disalurkan kerajaan kepada penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Negeri Melaka sepanjang tahun lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, jumlah itu meliputi beberapa jenis bantuan antaranya, Bantuan Kewangan Bulanan, Bantuan Sumbangan Perayaan dan Bantuan Mesra Lampin Pakai Buang Dewasa.

“Sepanjang tahun lalu JKM menerima peruntukan sebanyak RM135.413 juta jumlah ini termasuk peruntukan daripada Kerajaan Negeri iaitu sejumlah RM16.182 juta.

“Peruntukan diterima itu memberi manfaat kepada 28,609 penerima sepanjang tahun lalu termasuk 5,210 daripada mereka adalah penerima bantuan lampin pakai buang.

“Selain bantuan, beberapa program juga turut diadakan antaranya Program 2 Years Exit Programme (2YEP) bagi menggalakkan penerima bantuan berdikari menerusi penglibatan secara aktif dalam pekerjaan atau program untuk menjana pendapatan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata demikian ketika ditemui selepas Temu Bual Eksklusif Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Pengkalan Batu di MelakaFM, di sini, semalam.

Menurut Kalsom, selain memfokuskan aspek kebajikan, turut diberi perhatian adalah inisiatif pemerkasaan dan pembangunan wanita menerusi pelbagai program.

“Menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) kita mengadakan beberapa kempen dan program khas untuk wanita seperti Program Penjanaan Pendapatan, Kemahiran Wanita, Program Advokasi Anti Gangguan Seksual, Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita serta Program Literasi Perundangan dan Hak-Hak Wanita.

“Malah menerusi advokasi dan kempen dilakukan, kesedaran masyarakat dalam melaporkan kes keganasan sama ada terhadap wanita atau kanak-kanak mula meningkat tidak lagi seperti sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

79
Kongsi :
Previous post PEKERJA ASING HUNI PANGSAPURI DI AYER KEROH DIPINDAHKAN SECARA BERPERINGKAT
Next post KAMPUNG BACHANG DARAT BAKAL DAPAT SRA, TADIKA JAIM