Lebih 2,000 meriahkan iftar santai MBMB
AYER KEROH 6 April – Lebih 2,000 umat Islam hadir, sekali gus memeriahkan lagi Majlis Iftar Santai Bersama Keluarga @Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.
Majlis berbuka puasa secara santai itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.
Pada majlis itu juga seramai 590 asnaf dan mualaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) diraikan selain menerima sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Menteri.
Tinjauan Melaka Hari Ini di lokasi mendapati orang ramai yang hadir turut menerima sumbangan makanan dan minuman percuma.
Konsep iftar santai umpama berkelah itu dilihat menerima sambutan positif daripada masyarakat yang hadir ke majlis terbabit.
Pada majlis tersebut, pihak MBMB turut menyediakan khemah untuk orang ramai menunaikan solat Maghrib berjemaah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.