Sorting by

×

Lebih 15,000 pengunjung direkodkan naiki MTS

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDA HILIR 6 Julai – Seramai 15,659 pengunjung direkodkan menaiki Menara Taming Sari (MTS) sebaik sektor pelancongan negara dibenarkan beroperasi bermula 13 Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MTS, Azlan Abidin berkata, kenaikan berganda itu dicatat bagi tempoh 18 hari bermula 13 Jun hingga 30 Jun, sebaik kerajaan membenarkan pemain industri pelancongan beroperasi pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Jelasnya, sebaik ia dibuka pihaknya menerima kira-kira 1,000 pembelian tiket pada penghujung minggu pertama dan perbandingan itu meningkat kepada lebih 2,000 tiket terjual dijual pada minggu seterusnya.

“Walaupun negara masih diserang pandemik Covid-19, jumlah pengunjung yang diterima kali ini agak memberangsangkan .

“Malah, medium media sosial seperti Facebook juga turut dimanfaatkan bagi mempromosi dan menyalurkan informasi berkaitan aktiviti yang dijalankan MTS.

Selain itu, MTS juga telah menghasilkan video pendek mengenai langkah-langkah keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) dijalankan demi memberi keyakinan kepada pelanggan,” katanya, baru-baru ini.

Tambahnya, pihaknya menyarankan setiap pengunjung digalakkan menggunakan platform atas talian, sebagai medium pembelian tiket yang terdapat pada laman sesawang dan agen atas taliannya.

“Kami yakin pengunjung MTS akan terus meningkat berdasarkan sambutan baik yang diterima pada waktu ini dengan promosi yang berterusan dan khidmat pelanggan yang turut memainkan peranan penting.

“MTS menyasarkan jumlah pengunjung sebanyak 100,000 orang bermula dari pembukaan MTS pada 13 Mei hingga 31 Disember tahun ini,” katanya.

Views:

254
Kongsi :
Previous post Perjuangan belum selesai
Next post TYT dan Toh Puan rai hari kelahiran nenek Mainab ke-100
Ubah saiz-+=