![Img 20250209 012949 976](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_20250209_012949_976.jpg?v=1739035918)
LEBIH 15,000 GAMATKAN RUMAH TERBUKA TAHUN BAHARU CINA MELAKA
KESIDANG 9 Februari – Lebih 15,000 pengunjung membanjiri perkarangan Malim Food Town, Taman Malim Jaya, di sini, bagi memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, sambutan luar biasa itu cukup bermakna buatnya sebagai wakil rakyat di kawasan itu kerana berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, lebih istimewa sambutan itu turut memberi impak positif kepada lebih 30 peniaga di kawasan tersebut hasil penebusan lebih 10,000 kupon percuma bernilai RM15 yang diagih Kerajaan Negeri.
“Saya percaya sambutan ini berjaya mengeratkan hubungan di antara kaum-kaum yang ada di Malaysia untuk bersama-sama meraikan perayaan yang disambut masyarakat Cina.
“Walaupun berbeza agama dan kefahaman, namun semangat toleransi dan hormat-menghormati ini memberi nilai tambah kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Pada masa sama, ekonomi peniaga di kawasan ini turut mendapat tempias menerusi agihan kupon percuma yang diagihkan kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Malim Food Town, Taman Malim Jaya, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.