Lebih 13,000 guru pengambilan ‘one-off’ berjaya mendapat penempatan – Radzi Jidin
LANGKAWI, 23 Mac – Seramai 13,225 guru baharu di bawah pengambilan khas secara ‘one-off’ sudah melapor diri atau menerima penempatan masing-masing setakat ini.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata 307 guru telah melapor diri pada 1 Dis tahun lepas, 8,120 melapor diri pada 1 Mac lepas, manakala 4,828 lagi akan melapor diri pada 4 April depan.
“Alhamdulillah kita sudah selesai lebih 13,000 guru, untuk batch atau kohort terbaharu iaitu lebih 4,000 orang, mereka akan ditempatkan bulan depan dan keputusan penempatan mereka juga sudah pun keluar.
“Insya-Allah baki lebih 5,000 guru, kita akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) supaya baki itu dapat diisi dan diselesaikan segera,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kementerian berharap kesemua pengambilan guru secara one off seramai 18,702 orang seperti yang telah diumumkan sebelum ini, dapat menyelesaikan isu kekurangan guru di sekolah Kementerian Pendidikan sejak sekian lama.
Menurutnya apabila semua kekosongan itu dapat diisi sepenuhnya, baharulah kementerian boleh memikirkan untuk pengambilan guru baharu atas sebab lain, antaranya guru bersara dan mengisi keperluan di sekolah baharu.
“Isu kekurangan guru akan tetap berlaku tetapi tidaklah sampai 18,000 seperti sebelum ini. Kita akan tutup yang ini dahulu, kemudian jika ada kekosongan dari semasa ke semasa kita akan selesaikan berdasarkan keperluan,” katanya.
Terdahulu Radzi menghadiri program penyampaian peranti digital Yayasan Didik Negara (YDN) dan Yayasan AEON Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Kelibang, di sini.
Mengulas mengenai program itu, Radzi berkata kementeriannya sedang di peringkat akhir untuk menyiapkan rangka dasar pendidikan digital dan sumbangan peranti digital kepada pelajar sekolah dapat mempersiapkan mereka sebelum dasar itu diperkenalkan.
“Kita berharap dapat bekerjasama menerusi YDN dengan pelbagai pihak untuk memastikan kita dapat melaksanakan dasar pendidikan digital itu nanti, termasuk sumbangan peranti digital oleh pelbagai pihak untuk anak-anak kita,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.