Lebih 1,200 terima manfaat projek inovasi komuniti TERAJU
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata TERAJU menjalin kerjasama dengan 13 universiti awam dan tiga agensi kerajaan negeri bagi membangunkan 28 projek inovasi komuniti di 148 lokasi seluruh negara melibatkan peruntukan RM67.5 juta.
“Meskipun bumiputera adalah kaum majoriti di negara ini iaitu pada kadar 69.4 peratus (22.52 juta orang), namun status sosioekonomi khususnya jurang pendapatan serta pemilikan aset masih rendah terutamanya dalam kalangan B40,” katanya ketika lawatan tapak pembenihan dan penternakan ikan kelah di sini hari ini.
Abdul Latiff berkata program yang menggunakan pendekatan model quadruple helix itu bertepatan dengan hala tuju sedekad Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) dalam memperkasa sosioekonomi komuniti B40.
Beliau berkata TERAJU dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta konsultan dilantik, syarikat Far East Planet Sdn Bhd telah membuka peluang kepada golongan B40 untuk terlibat sebagai pemain dalam sektor berimpak tinggi yang akan menerajui industri masa depan.
Abd Latiff berkata sektor pertanian dan komoditi telah digariskan dalam TPB2030 sebagai antara Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama Bumiputera (KEGA) yang mampu menjana nilai dan peluang pekerjaan mengikut permintaan pasaran.
Beliau berkata TPB2030 menyenaraikan pertanian dan komoditi antara KEGA yang diunjurkan mencipta Lebihan Kendalian Kasar (GOS) bernilai RM25.06 bilion menjelang 2030 dengan mewujudkan pekerjaan langsung sebanyak 11,156 bagi golongan Bumiputera.
Pada majlis itu, Abdul Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing turut menyampaikan sijil lantikan kepada peserta program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) 2020 zon Selatan terdiri daripada tiga program utama iaitu penternakan ikan kelah dan spesies ikan tempatan, penternakan akuakultur udang kara (Lobster) dan pengeluaran produk bernilai tinggi berasaskan nanas. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.