Lebih 110 Ahli Parlimen masih sokong kerajaan – TPM
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap rakyat bertenang dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama berdoa agar kemelut politik ini berakhir dengan segera.
“Situasi politik negara pada hari ini dalam keadaan yang tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri dalam pada itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini.
Menerusi kenyataan Istana Negara, Seri Paduka menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda.
Al-Sultan Abdullah juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.