Sorting by

×

Lebih 100,000 kenderaan dijangka masuk ke Melaka mulai hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 15 Okt. – Polis Melaka menjangkakan 100,000 hingga 120,000 kenderaan akan masuk ke Melaka bermula hari ini hingga Ahad selepas sempadan negeri dibuka pada Isnin lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata justeru itu Polis Melaka akan meningkatkan pemantauan bagi memastikan rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya cuma nak maklumkan keadaan keselamatan di negeri Melaka ini terkawal. Dalam tempoh tiga hari ini iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad jumlah kenderaan yang dijangka masuk Melaka kira-kira 100,000 ke 120,000.

“Justeru kita akan tingkatkan kawalan lalu lintas dan menambah pasukan pemantauan SOP. Cuma saya menyeru masyarakat apabila datang ke Melaka patuhi SOP seperti ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ketibaan Pelancong Ke Negeri Melaka Sempena Kebenaran Merentas Negeri di Plaza Tol Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Kamel Mohamad; Exco Pelancongan, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Exco Kesihatan Datuk Rahmad Mariman.

Katanya, seramai 168 anggota pemantau akan digerakkan dengan memfokuskan kawasan tumpuan pelancong.

“Pasukan pemantau ini kita tumpukan di kawasan tumpuan pelancong seperti tepi pantai. Kita juga akan tingkatkan pantauan di medan ikan bakar kerana di kawasan ini banyak berlaku perlanggaran SOP.

“Manakala dari segi pemeriksaan vaksinasi kita akan buat secara rawak yang mana sektor pelancongan hanya dibenarkan kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post Bahagian Masjid Tanah jadi contoh
Next post Melaka belum putuskan senarai calon sehingga keputusan SPR
Ubah saiz-+=