Sorting by

×

LEBIH 100,000 ‘HEALING’ DI BANDA HILIR SEMPENA CUTI SEKOLAH, TAHUN BAHARU CINA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 2 Februari – Dianggarkan lebih 100,000 pengunjung membanjiri Banda Hilir sepanjang cuti sekolah dan cuti umum Tahun Baharu Cina ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata jumlah itu diperoleh berdasarkan data ‘Crowd Monitoring’ MBMB sejak pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan 28 Januari lalu.

Menurut beliau, berdasarkan data tersebut, secara purata, seramai 33,000 pengunjung dan pelancong direkodkan berada di sekitar Banda Hilir pada setiap hari, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha produk pelancongan dan peniaga di kawasan itu.

“Saya sempat menyantuni beberapa peniaga di sekitar Pahlawan Walk Banda Hilir, rata-rata mereka menzahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang membenarkan mereka berniaga dari awal pagi bermula Tahun Baharu Cina sehingga Ahad (hari ini).

“Dengan peningkatan jumlah pengunjung dan pelancong, maka rezeki mereka turut bertambah lebih-lebih lagi sekarang merupakan cuti sekolah dan musim perayaan.

“Kita yakin jumlah pengunjung dan pelancong ini akan terus meningkat dan boleh mencecah lebih 200,000 memandangkan musim cuti sekolah ini masih berterusan sehingga 16 Februari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025 di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Program itu diserikan dengan kehadiran Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama Timbalan beliau, Datuk Zaidi Attan.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nur Azan Hassan dan lain-lain kenamaan.

Menurut Shadan, bersempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2025, tidak kurang 30,000 pengunjung direkodkan telah membanjiri sekitar Bangunan Stadthuys bagi menyaksikan pelbagai persembahan menarik yang disajikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

88
Kongsi :
Previous post MELAKA BILA LARUT MALAM 2025 DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA
Next post MENARA TAMING SARI TIDAK PERNAH MENGECEWAKAN