LEBIH 10,000 MERIAHKAN MELAKA BILA LARUT MALAM EDISI NOVEMBER

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 3 November – Program Melaka Bila Larut Malam yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh terus konsisten dalam menggamit kehadiran pengunjung dan pelancong.

Ia selepas inisiatif yang menawarkan kemasukan ke tempat pelancongan Melaka pada harga istimewa RM10 itu berjaya menarik purata lebih 10,000 pengunjung setiap kali dianjurkan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan.

Terbaharu, Melaka Bila Larut Malam Edisi November, malam tadi, turut berlangsung meriah apabila merekodkan 10,133 pengunjung dan pelancong menerusi sembilan produk dan program pelancongan yang menyertainya.

Menurut kenyataan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka, kawasan Zon Bebas Kenderaan di sekitar Bangunan Stadthuys merekodkan jumlah pengunjung tertinggi iaitu seramai 4,068 orang menerusi program Gegau Gegau @Melaka Bila Larut Malam.

Program itu diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalannya Datuk Zaidi Attan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta Pengurus Besar BPP Melaka Sa’ari Basiron.

Selain itu, turut mendapat sambutan hebat adalah Melaka River Cruise dan Zoo Melaka yang masing-masing merekodkan 1,808 dan 1,173 pengunjung.

“Ia diikuti Malaysia Heritage Studios dengan 957 pengunjung; Menara Taming Sari (867); Panggung Bangsawan (500); Cool Ghost Museum (430); Muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (210) dan Muzium Penjara Malaysia Melaka dengan 120 pengunjung.

“Panggung Bangsawan yang menampilkan Showcase Gegau MelakaFM turut mencatatkan jumlah pengunjung luar biasa ‘full house’ iaitu seramai 500 orang,” kata kenyataan itu.

Selain tarikan produk pelancongan, Melaka Bila Larut Malam turut menampilkan Set Kombo Menu RM10 membabitkan enam premis makanan.

Antara premis yang menyertainya adalah 1-Altitude Melaka; Bruh Kitchen; The Windmill Station TWS; Mr Salai Smoke House; Mango Float Brothers dan Kilang Makan dengan menawarkan lebih 20 pilihan makanan pada harga hanya RM10.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post KUAM 2024 CIPTA MEMORI INDAH DATUK DAN CUCU
Next post PERTANDINGAN MEWARNA ‘WARNAI’ KUAM 2024
Ubah saiz-+=