
Lebih 1,000 penonton, bukti positif perkembangan bola sepak wanita Melaka
PAYA RUMPUT 2 April – “Lebih 1,000 penonton menyaksikan perlawanan akhir kejohanan bola sepak wanita di stadium malam ini bukti perkembangan positif bola sepak wanita di negeri ini.”
Itu kata Pengerusi Pertandingan merangkap EXCO Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.
Katanya, sambutan penyokong yang memberangsangkan itu juga bukti sukan bola sepak wanita itu semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita di negeri ini.
“Kejohanan julung kali ini bukan sekadar untuk mencungkil bakat sahaja, malahan ia juga antara usaha dalam menyemarakkan lagi minat sukan bola sepak dalam kalangan wanita.
“Hal ini kerana liga ini kita laksanakan dalam tempoh yang singkat iaitu dalam sebulan sahaja. Dan sukan ini untuk rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada perlawanan akhir Liga Bola Sepak Wanita Piala Datin Seri Utama Munira 2022 yang disempurnakan Datin Seri Utama Munira M Yusop di Stadium Hang Jebat di sini malam tadi.
Hadir sama EXCO Belia dan Sukan negeri, VP Shanmugam dan EXCO Hal Ehwal Wanita negeri Datuk Kalsom Nordin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.