Lebih 1,000 pelancong antarabangsa dijangka tiba esok – Nancy

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Lebih 1,000 pelancong antarabangsa dijangka tiba di negara ini pada hari pertama peralihan Malaysia ke fasa endemik, esok.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata ketibaan esok kebanyakannya adalah dari negara jiran Singapura, melalui pelbagai pintu masuk antarabangsa, menerusi jalan udara atau darat dan persediaan telah dilakukan untuk menerima mereka.

“Kami teruja untuk esok.. kami juga telah bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran. Saya gembira mendengar bahawa pagi tadi agensi-agensi kami seperti Tourism Malaysia dan kementerian lain juga mengadakan mesyuarat untuk bersiap sedia.

“Jadi, bukan sahaja MOTAC, malah kementerian lain juga sedang bersiap sedia untuk menerima pelancong bagi memastikan semuanya baik dengan prosedur operasi standard (SOP) dan juga jika terdapat apa-apa yang perlu diselesaikan di lapangan terbang, semua mereka telah bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia dengan Visa Malaysia (Visa) untuk kempen ‘Home Away from Home’ hari ini.

Turut hadir Pengurus Negara Visa Malaysia Ng Kong Boon dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab.

Terdahulu dalam ucapan beliau, Nancy berharap kerjasama strategik itu akan mencerminkan Dasar Pelancongan Negara terutama dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan 10 teratas global dalam kedua-dua aspek kedatangan dan resit.

Beliau menambah menerusi kerjasama itu, Tourism Malaysia akan dapat memanfaatkan kelebihan analitik Visa, bagi menambah baik pengalaman pelancong di Malaysia.

Menerusi MoC tersebut, Visa akan menawarkan Tourism Malaysia akses kepada data analitiknya dan pandangan terperinci untuk lebih memahami keutamaan pengembara apabila mereka memasuki negara ini.

Selain itu, Visa akan memperkenalkan Program Peniaga Pilihan Visa (VPM) yang membolehkan pemegang kad Visa mempunyai akses kepada tawaran eksklusif untuk penempatan, tiket penerbangan, menjamu selera, beli-belah dan kesihatan perubatan

Program VPM terbuka untuk pengembara domestik dan antarabangsa ketika musim kedatangan pelancong menerusi laman sesawang malaysia.travel dan visa.com.my. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1197
Kongsi :
Previous post Dakwaan rogol: Pembelaan Paul Yong tutup kes selepas panggil tiga saksi
Next post Usul MySejahtera: KKM perlu beri jaminan data peribadi tidak tergadai
Ubah saiz-+=