Sorting by

×

LBS Bina bangunkan sebahagian koridor ekonomi M-WEZ

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 9 April – Anak syarikat tidak langsung LBS Bina Group Bhd, (LBS), Leaptec Engineering Sdn Bhd (LESB) menandatangani perjanjian penebusgunaaan dan pembangunan (RDA) tanah dengan Melaka untuk membangunkan sebahagian kawasan koridor ekonomi berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Majlis menandatangai perjanjian persefahaman (MoU) RDA itu berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur semalam sempena pelancaran M-WEZ yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

LBS dalam satu kenyataannya berkata melalui perjanjian itu, LESB akan membangunkan kawasan seluas kira-kira 485.6 hektar (1,200 ekar) di Tanjung Bruas daripada keseluruhan 10,117 (25,000 ekar) kawasan M-WEZ di sepanjang 33 kilometer (km) pesisir pantai Melaka.

Menurut kenyataan itu, setelah kerja-kerja penambakan, kawasan Tanjung Bruas itu akan dibangunkan menjadi pusat industri dengan kemudahan pelabuhan yang merangkumi logistik dan gudang, pembuatan dan gas asli cecair (LNG).

“Turut dibangunkan adalah perniagaan yang berkaitan dengan pelabuhan yang terletak di lokasi strategik Tanjung Bruas.

“LBS juga merancang untuk bekerjasama dengan beberapa pihak berkaitan dengan projek penambakan dan pembangunan ini sejajar dengan rancangan kami untuk memperluaskan lagi pemilikan tanah di negeri berdaya maju dan berpotensi seperti Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, melalui pertimbangan hak yang diberikan, kerajaan negeri akan dibayar sebanyak RM94.86 juta yang dirancang untuk dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

MoU semalam menyaksikan RDA ditandangani antara Pengarah Urusan LESB Datuk Mohd Anis Hisham Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan sambil disaksikan Sulaiman dan Pengerusi Eksekutif LBS Tan Sri Lim Hock San.

Hock San sementara itu berkata, RDA itu memberi peluang kepada LBS untuk memperoleh sebidang tanah yang besar di kawasan pesisir Selat Melaka yang merupakan laluan maritim paling sibuk di dunia.

“Peluang ini akan mengeratkan lagi hubungan Melaka dan Guangdong, China untuk meneroka pelaburan dua hala.

“Kami yakin pembangunan industri dan komersial ini akan memberi manfaat memandangkan lokasinya yang strategik sekaligus merancakkan kegiatan ekonomi yang disokong kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya, projek mega itu juga diharap dapat memberi sumbangan positif terhadap pendapatan kumpulan sasar di masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1199
Kongsi :
Previous post Pokok Batai Laut tumbang diganti baru
Next post 346,971 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=