LAYANG-LAYANG JALUR GEMILANG, BERLAMPU WARNAI LANGIT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 11 September – Layang-layang Jalur Gemilang gergasi dan berlampu antara tarikan buat pengunjung yang singgah ke Festival Layang-Layang Antarabangsa Negeri Melaka 2024 di Klebang Street, pada 14 hingga 16 September ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, layang-layang gergasi Jalur Gemilang berukuran 10X15 meter dijangka dinaikkan pada petang 14 September bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.

Allex yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang berkata, pada sebelah malam pula pengunjung boleh menyaksikan keindahan layang-layang berlampu.

“Tahun ini kita juga ada layang-layang naga dari China berukuran lebih 30 meter. Kita jangka seramai 10,000 pengunjung akan singgah ke festival ini sepanjang tiga hari ia berlangsung.

“Penyertaan antarabangsa tahun ini juga meningkat kepada 110 membabitkan wakil dari China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Perancis,” katanya pada sidang media di Bilik Tun Mutahir, Kompleks Seri Negeri, hari ini.

Menurutnya, festival itu turut mendapat kerjasama dan penyertaan wakil Majlis Pelayang Malaysia.

Katanya, tahun lalu festival berkenaan sekadar berjaya menarik dua penyertaan antarabangsa iaitu dari China dan juga Singapura.

“Bukan sahaja melihat layang-layang pelbagai saiz dan bentuk yang unik, kita turut susun banyak lagi aktiviti menarik untuk pengunjung yang hadir nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

574
Kongsi :
Previous post LHDN KENAL PASTI 327 KES BERKAITAN CUKAI DI MELAKA
Next post REZEKI PENUNTUT UNIMEL
Ubah saiz-+=